Kosmologi Sufi: Ilmu Yang Tertinggi dalam Pandangan Sains Islam
Kosmologi Sufi: Ilmu Yang Tertinggi dalam Pandangan Sains Islam
Shahidan Radiman
Pusat Pengajian Fizik Gunaan
Fakulti Sains dan Teknologi
UKM , Bangi 43600 , Selangor D.E
E-mail: shahidan@ukm.my
I. Pengenalan
Tidak
dapat dinafikan bahawa ilmu para anbiya’ Allah dan kekasih Allah (
waliyullah) merupakan ilmu yang tertinggi , sebahagiannya yang
dapat dicerap secara zahir berupa mukjizat dan keramat namun bahagian
yang batin atau asrar hanya dapat dicerap oleh para ahli makrifat ( ahli
Sufi muhaqqiqin) . Dalam banyak kajian perbandingan yang
dilakukan oleh para sarjana Muslim dan sarjana Barat , seolah-olah
terdapat percanggahan di antara Islam yang diamalkan oleh majoriti
Muslim dengan ahli Sufi (kebanyakannya kumpulan Tarekat) dan juga percanggahan di antara pelaksanaan syariat
dan muamalat yang diamalkan oleh kebanyakan orang islam berbanding
orang Sufi. Ada dua sebab mengapa perbezaan itu seolah-olah wujud,
pertama kerana para pengkaji kurang memahami amalan (zahir dan batin)
orang Sufi dan kedua , atas sebab
tujuan tertentu (politik , munafik , sabotaj dan lain-lain) untuk
memburukan dan mempertelagahkan pelbagai golongan dalam Islam ,
sedangkan jelas terdapat tiga golongan dari segi pengamalan Islam iaitu
awam, khawass dana khawasul khawass. Kertas ini cuba menghuraikan beberapa aspek kosmologi Sufi dengan tujuan agar sebahagian
daripada ilmu dan amalan mereka dapat difahami , sebahagian besar
daripadanya merupakan amalan batin Rasulullah s.a.w dan mengaitkan aspek
Kosmologi Alam Semesta ( alam kabir) dengan Kosmologi Insan ( alam
saghir). Dengan cara ini maka jelaslah hubungan harmoni di antara
manusia dan alam semesta , yang kedua-duanya merupakan makhluk yang
semestinya menyembah dan mengabdikan diri kepada Maha Penciptanya.
II. Sejarah Ringkas Perkembangan Sufi
Daripada
banyak kajian yang di lakukan oleh banyak sarjana khasnya oleh sarjana
Barat dapat disimpulkan bahawa aliran Sufi ini dikembangkan oleh Hasan
Al-Basri , tetapi bibit pendidikan dan amalan zahir dan batin bagi
aliran ini banyak diambil dari Saidina Ali , Abu Hurairah , Salman
Al-Farisi dan beberapa sahabat lain yang rapat dengan Rasulullah s.a.w.
Banyak juga amalan batiniah yang diambil dari Saidina Hasan dan Husin
serta ahlil bayt yang lain termasuk Jaafar As-Sadiq. Banyak kajian telah
dilakukan untuk memahami kosmologi sufi di antaranya bagi aliran
Ishraqi ( Ayn Qudat Hamadani , Suhrawardi Maqtul ) , aliran Malamati
-Qalandar ( Abu Sayd Abil Khair , al Qusayri , al Kalabadzi dll) ,
aliran Isyik ((Umar Ibn Farid, Jalaludin Rumi , Sultan Bahu , Baba Tahir
Orayan dll) dan banyak lagi aliran . Hujjatul Islam Imam al-Ghazali
telah dapat menyintesiskan aliran falsafah kalam dengan aliran sufi yang kemudiannya diikuti oleh Ahmad Sirhind dan Shah Waliyullah Dehlawi.
Zaman
moden sekarang (pasca 2000) aliran Sufi sudah begitu pesat berkembang
di Barat dan merupakan satu mod atau pendekatan pengislaman penduduk
Barat yang paling pesat membangun dengan pelbagai khanqah dan zawiyah
ditubuhkan di seluruh Amerika dan Eropah mengikut model tradisional
khasnya model Morokko dan Tunisia. Dapat dirasai bahawa minat Barat
terhadap Sufisme banyak berkait dengan hal kesihatan jiwa atau psikologi
jiwa. Amalan zikir dan cara ahli Sufi berfikir dan bermuamalat (
dibandingkan cara majority amalan Muslim yang awam) nampaknya telah
dapat menarik minat ramai orang Barat yang rata-rata adalah ateis atau
hanya Kristian ikut-ikutan. Kosmologi sufi mencangkum psikologi
dan amalan perubatan ( lihat Laleh Bakhtiar (1) ). Banyak kajian telah
dilakukan terhadap amalan dan kosmologi Sufi ( sila lihat rujukan di
Lampiran 1,2 oleh Ken Lizzio (2)). Kertas ini hanya memberikan satu
ringkasan dan pengkategorian kosmologi Sufi berdasarkan perkembangan terkini.
III. Sains Islam dan Sufisme
Dalam
zaman dimana manusia semakin rakus terhadap pembangunan material ,
Islam yang menekankan aspek akhirat lebih daripada aspek dunia , pahala
lebih daripada harta dan amalan lebih dari hasilkerja tangan semakin
luntur daripada pemahaman dan keutuhan akidah ummah. Maka
Sains islam yang pernah dibangunkan oleh golongan ahli kalam bagi
menangani masalah alam ghaib dan sudut batin Islam secara rasional perlu
dikembangkan dan digiatkan lagi pengkajian dan penghayatannya agar
ummah tidak akan tenggelam dengan arus kerakusan material dan harta serta pangkat yang
sebenarnya direka oleh manusia juga. Bidang sufisme yang berkembangan
semenjak Hasan al-Basri (yang belajar daripada beberapa sahabat Nabi
s.a.w termasuk cicit Nabi s.a.w
iaitu Jaafar as Sadiq ) dan seterusnya pemuka-pemuka Baghdad yang lain
seperti Sirri as-Saqoti dan Junaid al Baghdadi dan Rabiah al Adawiyyah semakin tercabar pada zaman perkembangan aliran Muktazilah dan kemudiannya golongan syariati atas nama penyucian agama daripada bid’ah oleh Ibn Taimiyyah. Salah seorang guru Sufi terkenal yang digelar Sheikh al-Akbar ialah Ibn Arabi al-Hatimi yang
telah menukilkan lebih 350 kitab aliran ini , tidak pernah ditentang
oleh mana-mana ulama yang muktabar pada zamannya mahupun dalam masa 200
tahun selepas kematiannya tetapi mula dipertikaikan oleh ulama lain
selepas itu. Di alam Melayu , tulisan Ibn Arabi dan tulisan ahli Sufi
lain yang sealiran antaranya dari tareqat
Naqshabandiyah , Shattariyah , Ahmadiah dan Rifaiyah yang mendukong
ajaran martabat tujuh , Nur Muhammad dan wihdatul wujud memang
senang diterima (lihat beberapa tulisan mengenainya oleh Muhammad
Uthman El-Muhammady (3)) . Ini kerana , konsep dan amalan yang
diterapkan di Nusantara yang diperkenalkan oleh Wali Sembilan adalah dalam aliran ini , diperkuatkan lagi oleh tokoh-tokoh Sufi Nusantara seperti Hamzah Fansuri , Samshuddin Sumatrani , Abdul Rauf Singkel, Sheikh Abdul Muhyi , Abdul Samad al-Palembangi dan tokoh-tokon Pattani seperti Sh. Daud al-Fatani dan
lain-lain. Hanya dalam kes Hamzah Fansuri , beliau telah ditentang oleh
Nurudin al-Raniri tetapi itupun selepas kematiannya – dan huraian
tentang kesilapan hujjah Nurudin al-Raniri terhadap Hamzah Fansuri
menjadi tajuk tesis terkenal Syed Naquib al-Attas yang diserahkan kepada
Univ. of London pada tahun 1972. Dari banyak segi , pandangan dan
tulisan para ahli Sufi sukar digugat – antaranya disebabkan oleh
bagaimana ilmu dan hikmah pada ahli Sufi muhaqqiqin itu didapatkan terus
daripada ilmu para anbiya’ dan pengajaran langsung daripada Allah s.w.t
sendiri. Pembuktian ilmu pada ahli Sufi didapatkan secara dzauqi dan pengalaman langsung , tidak kepada rasional atau jalan
pemikiran yang boleh dikelaskan sebagai tasauf falsafi. Bagi pembaca
yang berminat terhadap pemikiran tasauf dan Sufisme terkini bolehlah
merujuk kepada kitab Abdul Qadir Isa berjudul “ Haqaiq at Tasawuf” (4).
IV. Wujud dan wajibul wujud *
Wujud
dan wajibul wujud merujuk kepada kewujudan Allah s.w.t sebelum Dia
memperkenalkan dirinya kepada makhluk. Dalam hiraki Martabat tujuh ini
bermakna di dalam alam ahdah ini semua makhluk, ilmu tentang makhluk dan
apa yang akan terjadi di masa depan terpendam dalam Diri Allah yang Esa
dan Azali itu (lihat Lampiran 1) .Selepas terjadinya makhluk melalui
alam wahdah , alam ahadiyah , alam ruh, alam ajsam dan alam insan itu
maka tauhid yang sebenar yang boleh
dikekalkan dihuraikan oleh konsep wihdatul wujud. Bagi aliran Sufi ,
pemahaman tentang “asal usul” kejadian manusia wajib diketahui untuk
mencapai hakikat penghambaan kepada Tuhan dan
mencapai maqam mengenal diri. Tuhan yang ghaibul ghuyub itu tak bakal
akan dapat diketahui tetapi dengan mencapai makam mengenal diri , maka
manusia ini akan dapat berhubung dan berkata-kata dengan Tuhannya .
Pentingnya pemikiran dan tafakur tentang ketuhanan dan tuhid banyak
disebut dalam Al-Quran. Junaid al Baghdadi sendiri pernah berkata : Majlis yang paling mulia ialah duduk dalam medan
tauhid dengan berfikir. Di sebabkan perjalanan ahli kalam yang dating
dari pelbagai latarbelakang dan kecenderungan yang lebih kepada
rasionalisasi ( bukan pengimbangan rasionalisasi dengan sunnah ) maka
Imam al-Ghazali kemudiannya dapat mengimbangi dan menjadi aliran Sufi
yang dapat diterima ramai . Banyak daripada ulama Melayu menganggap Imam
al-Ghazali tergolong dalam aliran Ishraqi ( lihat misalannya buku Hikmah Ishraqi oleh Mohd. Zaidi Abdullah). Menurut Ibn Ajibah ( salah seorang pemuka Sufi yang member I Syarah kepada Kital Hikam Ibn Athaillah) berkata:
Fikir
merupakan jalan hati menujut hadhirat Rabb. Ia mempunyai dua bahagian:
Pertama, fikir yang membenar dan berserta dengan iman dan kedua , fikir
syuhud dan a’yan. Tiada sesuatu yang lebih bermenafaat bagi hati
berbanding uzlah yang disertai dengan fikir.
Dalam perjalanan menuju hakikat wujud (
alam khalq – semua makhluk yang diciptakan Allah) dan wajibul wujud
(Allah s.w.t sendiri), ada di antara mereka (ahli Sufi yang sampai ke
peringkat wahdatul af’al (perbuatan) iaitu secara dzauq dan syuhud. Ini dibuktikan oleh ayat 17 surah al-Anfal :
Dan bukan kamu yang melontar ketika kamu melontar akan tetapi Allahlah yang melontar”.
Ada
ahli Sufi yang mencapai maqam wahdatus sifat secara dzauq dan syuhud.
Dia mengecapi makna yang difirmankan oleh Allh s.wt iaitu ayat 30 surah
al Insan:
Dan tidak kamu menghendaki kecuali bila dikehendaki Allah s.w.t
Serta apa yang dihurai oleh hadiths iaitu:
Maka apabila Aku menyintainya, Aku menjadi pendengaran yang dia mendengar dan penglihata yang
dia melihat dengannya.
Peringkat ini juga boleh dianggap sebagai satu peringkat wusul.
Diperingkat
yang lebih tinggi lagi ialah maqam fana’ fizzat lalu dia menyaksikan
sifat segala sesuatu berlawanan dengan kewujudan Allah s.w.t. Dia mengecapi apa yang disebut dalam hadiths:
Kalimah paling benar yang dikatakan pentyair ialah kata-kata Labid: Ingatlah segala sesuatu selain Allah itu adalah batil………..
Syuhud dan a’yan itu merupakan keadaan seseorang itu tercengang dan bingung dengan kebesaran
yang ditunjukkan serta rahsia yanag ditunjukkan oleh Allah s.w.t
kepadanya , sehingga dia terdiam dan tidak dapat berkata-kata. Itu
sebabnya beberapa pemuka Sufi membawa doa “ Wahai Allah s.w.t ,
jadikanlah aku lebih bingung lagi!”.
*Ustaz Mohd Zaidi Abdullah telah mencadangkan agar “wujud dan wajibul wujud” menjadi titiktolak Pengislaman Ilmu atau Pengislaman Sains.
V. Memandang ke Alam Malakut dan Jabarut dengan Mata Batin (Basyirah)
Sheikh Ahmad al-Rifai ( kitab Al Burhan Al-Muayyad) menulis:
Daripada
takut akan timbulnya muhasabah. Daripada muhasabah akan timbulnya
muraqabah dan daripada muraqabah , hati akan sentiasa sibuk bersama
Allah s.w.t.
Dari
sini jelas bahawa kaum Sufi lebih mementingkan pekerjaan dan lintasan
hati , walaupun syariat tetap diutamakan. Tareqat adalah jalan menuju
kepada Allah s.w.t yang diambil
cara dan jalannya dari kalangan para sahabat r.a dan tabiin, sedangkan
hakikat dipelajari melalui guru yang mursyid yang telah dibenarkan oleh
Rasulullah s.a.w sendiri secara ladunni , mimpi atau rukyah sedangkan
makrifat adalah pemberian dan anugerah Allah kepada mereka yang sentiasa
mendampingi (syuhbah) para ulama Sufi yang muhaqqiqin .
Ajakan
kepada jalan tareqat iaitu jalan mengenal diri dan setrusnya mengenal
Allah s.w.t demi mencapai ilmu yang tertinggi ( iaitu ilmu tentang
Ketuhanan) disebut dalam al-Quran dalam surah Az Zaariyat ayat 50:
Maka segeralah kembali kepada Allah , sesungguhnya aku seorang pemberi peringatan yang nyata daripada Allah untukmu.
Itu
sebabnya salah satu tanda bahawa seseorang itu diterima dalam jalan
tareqat ( jalan suluk , jalan menyendiri ) ialah selalunya bermimpi
berjumpa dengan paran Nabi a.s termasuk Rasulullah s.a. dan kemudiannya
dengan para sahabat r.a , tabiin atau waliyullah yang lain , termasuk
para malaikat. Panggilan untuk bersama (syuhbah) dengan ulama muhaqqiqin
( guru mursyid , termasuk para arwah yang menjadi kekasih Allah s.w.t)
disebut dalam firman Allah s,.wt dalam surah Taubah ayat 119:
Wahai orang yang beriman , bertaqwalah kamu kepada Allah dan hendaklah kamu bersama dengan orang yang benar.
Mereka mengajak untuk kembali kepada Allah ( surge dunia ketika hidup dan surge akhirat selepas mati) seperti yang difirmankan dalam surah Al-Qamar ayat 55:
Ditempat yang disenangi (penuh kebahagiaan) di sisi Tuhan yang Maha Berkuasa .
Jelas
bahawa perjalanan pemula ahli Sufi (salik) adalah perjalanan batiniah
diikuti dengan perubahan kepada zahiriah dan setrusnya pembaikan kepada
batiniah itu sehingga salik itu dapat melihat secara batiniah alam-alam
malakut dan alam jabarut serta mencapai kenikmatan beribadat ( surga
dunia) samada sendirian ( biasanya membawa zikir mufrad dan lain-lain
isim ) mahupun berjemaah ( khalwah , uzlah , qiyamullail dan muzakarah
secara berkelompok).
Para ahli Sufi juga banyak membuat perbezaan di antara amal-amal orang awam , khawas dan khawasul khawass. Sebagai contohnya , Ibn Ajibah ( dalam kitab Mikraj at Tasawuf Ila Haqaiq at Tasawuf) menukilkan dalam bentuk nazam (tentang khauf- takut kepada Allah s.w.t):
Khauf awam daripada siksaan dan luput pahala
Khauf khusus daripada celaan Allah dan jauh daripadaNya
Sementara khauf khususul khusus daripada terhijab dengan buruk tingkahlaku dan adab sopan terhadapNya.
Seterusnya beliau berkata tentang raja” (harapan kepada Allah s.w.t) sebagai berikut:
Raja’
orang awam ialah sebaik-baik tempat kembali dan memperolehi ganjaran
pahala, raja’ khawass ilah mencapai keredhaan dan kedekatan dengan Allah
s.w.t sementara raja’ khasul khawass ialah tamkin dalam syuhud serta
bertambah peningkatan terhadap rahsia-rahsia Allah s.w.t yang merupakan
Raja Yang DiSembah.
Kaum
Sufi adalah kaum melakukan amal kerana ingin mendapatkan surga atau
kerana takutkan neraka, seperti dalam satu riwayat tentang satu kumpulan
ahli ibadat yang ditemui Nabi Isa a.s : Nabi Isa a.s bertanya “
Siapakah kamu? “. Mereka menjawab : Kami adalah pencinta kepada
Allah . Kami tidak menyembah Allah kerana takut nerakaNya dan tidak
pula kerana rindu kepada surganya, akan tetapi kerana cinta kami
kepadaNya dan membesarkan keagunganNya . Maka Nabi Isa a.s pun berkata :
Kamu adalah wali-wali Allah yang sebenarnya . Sesungguhnya aku
diperintah untuk berada bersamamu dan menyeru yang lain.
Kaum Sufi mengenal Islam dan melaksanakan syariatnya melalui pengalaman-pengalaman yang dibuka oleh Allah untuk melihat kebesaranNya. Lalu
mereka mendapat didikan melalui para waliyullah , para nabi a.s (
secara ladunni) dan melalui ilham daripada Allah s.w.t sendiri. Banyak
dari ilmu para Sufi adalah melalui jalan kasyaf seperti yang ditunjuki
oleh hadiths:
Kalaulah bukan kerana syaitan yang mengerumuni hati anak Adam , nescaya mereka akan dapat melihat kerajaan langit .
Percanggahan pendapat tentang keberadaan alam ( dari aspek wujudnya) sebenarnya timbul daripada keadaan atau ahwal seseorang manusia itu seperti berikut:
Keadaan/Ahwal
|
Natijah / Kesan
|
Rasional
|
“Tauhidic Intellectuality” ( meminjam kata Muhammad Uthman Muhammady)
|
Fana’
|
Wihdatus Syuhud (meminjam kata Ahmad Sirhind)
|
Fana’ baqa’ billah *
|
Wihdatul wujud ( dinisbahkan kepada Ibn Arabi tetapi istilah ini sebenarnya datang dari Awahudin Kirmani)
|
*ahli
mistik (Sufi) Jawa ada istilah yang lebih ekstrim iaitu “manunggaling
kawula Gusti” – bersatu dengan Yang Maha Esa – tapi itu dari segi bahasa
sebab mereka pun tahu hamba tetap hamba dan Tuhan tetap Tuhan , tidak
akan bersatu dalam ertikata hulul.
VI. Ilmu Yang Tertinggi dan Nafsu Yang tertinggi
Kebersihan jiwa sangat penting seperti yang disebut dalam al-Quran surah…AsSyams 9-10…..:
Beruntunglah mereka yang menyucikan jiwanya dan merugilah mereka yang mengotorinya.
Maka , bahagian batiniah jiwa terletak kepada lataif-lataif yang banyak dihurai dalam kitab-kitab tasawuf khasnya
zaman Ahmad Sirhind dan Shah Waliyullah Dehlawi . Penyucian lataif
bermakna penyucian dalaman dan ini dilakukan dengan melaksanakan
zikir-zikir tertentu . Kedudukan nafsu adalah seperti berikut:
Jenis Nafsu
|
Kedudukan
|
Kamaliyah
|
Surga
|
Mardhiah
|
Surga
|
Rodhiah
|
Surga
|
Mutmainnah
|
Surga
|
Mulhamah
|
Neraka
|
Lawwamah
|
neraka
|
Ammarah
|
neraka
|
Jelas
bahawa hanya mereka yang mencapai nafsu mutmainnah atau lebih tinggi
lagi yang dapat dijamin ahli surga, sedangkan bagi yang lain ,
penempatan mereka adalah di dalam neraka. Terdapat 70 lebih cabang iman dan
seorang salik harus memperbaiki semua cabang tersebut atau secara amnya
membuang semua sifat mazmumah dan menggantikannya dengan semua
sifat-sifat mahmudah. Zakaria Ansari seorang tokoh ahli Sufi abad ke-12
ada menulis sebuah kitab yang menghuraikan secara perinci 100 maqam
peningkatan perjalanan ahlis sufi ini bertajuk Manazil As Sairin. Hubungan diantara lathaif yang berada dalam diri manusia dan alam lain dapat dilihat dalam Lampiran 2.
Bagi
seseorang Sufi keikhlasan yang tertinggi akan menghasilkan keredhaan
Allah s.w.t yang tertinggi. Jalan singkat dan mudah untuk mencapai
keikhlasan tertinggi ini ialah melalui fana’ dan fana’ baqa’ billah
apabila melaksanakan sesuatu ibadat . Dengan cara “meniadakan diri” atau
“mematikan diri sebelum mati” , maka Tuhanlah yang mebnjadi sumber
segala gerak, fikir, tenaga dan perbuatan amalan atau ibadat itu, maka
tidak aka nada dakwa-dakwi lagi tentang siapa , bagaimana dan pahala
amalan tersebut. Dalam bahasa mudah Sufi , mereka sebut fana’ baqa’
billah ini sebagai “ memulangkan amanah kepada yang Empunya amanah”.
Jika seseorang dapat melakukannya sepanjang masa , maka Sufi ini sudah
mencapai “solat daim”.Mereka yang dapat mencapai solat daim sudah
pastinya akan dapat berhubung dengan Allah s.w.t sepanjang masa dan oleh
itu menjadi “alim Rabbani”. Dia dalam keadaan sentiasa berishtikharah
dalam perbuatannya dan dia sentiada dalam keadaan fana’ atau fana’ baqa’
billah. Kita akan dapat gambaran
dariapada keadaan ini ( ahwal) para waliyullah seperti yang dihurai
dalam Kashaf al-Mahjub (oleh al-Hujwiri) , al Jami’ Karamatil Auliya’
(oleh Yusuf Nabhahani) dan
Tazkiratul Auliya (oleh Faridudin Attar) tetapi juga dalam biografi
kehidupan Ibn Arabi ( yang menulis Fususu al Hikam dan kitab lain dalam
keadaan fana’) dan Abu Said Abil
Khayr. Keikhlasan merupakan kunci agama. Jika solat adalah tiang agama,
maka ikhlaslah tiangnya solat. Pentingnya keikhlasan di sebut dalam
banyak ayat al-Quran seperti ayat 11 surah AzZumar, surah 14 surah
AzZumar, ayat2 surah azZumar , ayat 5 surah Al Bayyinah dan ayat 110
al-Kahf.
VII. Kayukur Tahap Pencapaian Sufi ( khasnya Salik atau pemula)
Huraian
ini penting bagi mereka yang tidak terlibat dengan perjalanan Sufi atau
menjadi ahli mana-mana kumpulan tarekat muktabar. Tahap pencapaian
maqam dan ahlwal murid diberi perhatian khas oleh guru mursyid. Tanpa
kekuatan batiniah ( kasyaf , ilham dan sebagainya) tidak mungkin
seseorang guru mursyid itu melihat perkembangan katakan 30 atau ratusan
bilangan muridnya. Antara tahap yang agak tinggi ialah mendapat nama
rahsia . Dalam erti lain , nama yang seseorang itu dikenali di langit.
Ini mempunyai dalil , antaranya Nabi s.a.w sendiri dipanggil Ahmad di
langit dan Muhammad di bumi, dan Uways al-Qarni adalah nama dilangit
sedangkan namanya di bumi ialah Abdullah. Selalunya
peningkatan ke makam yang tinggi diikuti dengan pembai’ahan dan
pengijazahan yang pelbagai, samada daripada Rasulullah s.a.w sendiri
malahan daripada isteri baginda seperti Saidatina Aisyah r.a dan Jibrail a.s . Peningkatan ini diikuti dengan perjumpaan dengan para anbiya’ , malah 313 Rasul a.s dan juga seluruh malaikat yang
penting , termasuk ahli Badar r.a dan ahli Uhud r.a. Seseorang itu
mungkin mencapai tahap dianugerahkan Selawat sendiri, Istigfar khusus (
ini mempunyai dalil sebab Nabi Adam a.s sendiri diberi istigfar khusus
oleh Allah s.w.t , juga Nabi Yunus a.s ) dan doa-doa khusus . Lampiran 3 memberikan sedikit penerangan tentang amalan dan kayu
ukur pencapaian seseorang Sufi . Ilmu-ilmu yang rahsia (asrar) juga
akan dianugerahkan kepada seseorang yang mencapai maqam tinggi seperti
ilmu ibaratul mithal iaitu melihat dirinya sebagai lokus
kosmologi alam semesta. Pada tahap mengenal diri yang tinggi ini ,
salik ini akan dapat menghantar ruhnya ke setiap penjuru alam.
Para
guru Sufi yang mursyid pula merupakan repositori hikmah. Kelestarian
ummah terletak kepada golongan ini sebab mereka yang diberikan hikmah
maka sebenarnya mereka diberikan kebajikan atau kebaikan yang banyak
sekali. Sebagai contoh , betapa banyak pun pakar ekonomi atau pemenang
Hadiah Nobel dalam bidang ekonomi , krisis ekonomi yang teruk tetap
berlaku di Amerika Syarikat. Dunia sekrang tidak ketandusan pelbagai
pakar sains tulin, sains keras dan sains lembut , tetapi sebenarnya
ketandusan ahli hikmah. Daripada golongan Sufi ini juga lahir individu
atau kelompok afrad , muhaddatsun, abdal, akhyar , nuquba’, nujuba’ ,
rajabiun dan wali qutub.
Kedudukan ini sudah cukup tinggi untuk meraih keberkatan dalam kehidupan
sebagaimana yang difirmankan oleh Allah s.w.t dalam surah Ar Rahman ayat 46 :
Orang yang takut kepada Tuhannya diberi dua surga.
Satu surga di dunia dan
satu lagi di akhirat. Dalilnya surga dunia ialah wujudnya taman-taman
surga yang terdiri daripada majlis ilmu dan majlis zikir. Begitu juga
tempat tertentu yang disebutkan dalam hadiths antaranya Raudah yang berada di dalam Masjidun Nabawi.
VIII. Kesimpulan
Dalam
zaman moden yang serba mencabar dan batiniah Islam makin terhakis (
apalagi yang zahir seperti pelaksanaan Hukum Islam dalam Negara) ,
kekuatan ummah semakin merosot dan jihad
an nafs ditinggalkan , maka tidak ada jalan lain untuk “menggenggam
bara” melainkan membangkitkan semula sunnah , amalan batin Islami dengan
bermula melalui jalan rasionalisasi dan konsep Ketuhanan. Jika manusia
mengenali Tuhannya maka mudah untuk mereka melaksanakan apa yang disuruh
oleh Tuhan dan mendapat hikmah terhadap perbuatan , pelaksanaan dan
akarumbi maksud kehidupan itu sendiri. Dari mana kita datang dan ke mana
kita akan pergi merupakan soalan falsafah yang telah dikitarsemula dan
hanya jalan ahli Sufi yang akan dapat memberikan jawapannya. Itu sebabnya jalan Sufi juga dipanggil jalan mengenal diri , kerana dengan mengenal diri maka Tuhan akan dapat dikenal (mafhum hadiths).
Jalan
Sufi , jalan yang ditempuh oleh semua para waliyullah merupakan jalan
yang membawa kepada Qalbin Salim sebab “tidak ada kekhuatiran dalam diri
mereka “ (surah Yunus , ayat 62-63). Jalan tasawuf mereka banyak
dibincang dalam kitab-kitab muktabar dalam tiga peringkat iaitu: i)
Bahagian awal – membahas tentang memperbetulkan amal ibadah , kusyu’
serta adab . ii) Bahagian pertengahan – membicarakan cara mujahadah diri
serta penyucian diri , hati serta ahwalnya , menghilangkan sifat
mazmumah dan menggantikan dengan sifat mahmudah. Kedua-dua bahagian (i)
dan (ii) dihurai dalam kitab Ihya’ karangan Imam al-Ghazali dan Qutul Qulub
karangan Abu Thalib Makki dan seumpamanya. Ilmu ini dinamakan ilmu
muamalah. (iii) Bahagian akhir –membicarakan tentang makrifat ,
rabbaniyah , ilmu wahbiyyah , dzauq wujdaniyyah serta hakikat kasyaf.
Sebahagian besar kitab karangan Ibn Arabi dalam kategori ini contohnya Futuhat al Makiyyah dan Fushush al Hikam. Kitab Insan Al kamil
karangan Abdul Karim Jili juga termasuk dalam kategori ini. Kitab-kitab
ini harus dipelajari secara berguru khasnya guru yang mursyid. Ilmu
bahagian ini dinamakan ilmu makrifat.
Ilmu
Sufi adalah ilmu yang haq , sebagaimana alam ghaib itu juga adalah haq,
malah lebih kekal daripada alam fizikal ini. Kehebatan sains dan
teknologi jika tidak islami ( contohnya proses PengIslaman Ilmu tidak
dilaksanakan) menjadi Istidraj , bukan anugerah. Jika demikian ,
semakin tinggi sains dan teknologinya semakin pula bertambah masalah
ekonomi dan masalah sosialnya dan semakin runtuh akhlak masyarakatnya.
Ini berlaku kerana ummah sendiri
telah meninggalkan aspek tarekat, hakikat dan makrifat dalam beragama
sehinggakan hanya menekankan aspek syariat sehinggakan menghablur
menjadi ritual kehidupan. Kontroversi timbul apabila terdapat “ulama”
yang tidak pernah melalui jalan Sufi lalu memberi tohmahan dan
pemfitnahan kepada golongan Sufi. Banyak buku ditulis bagi menjawab
tohmahan terhadap pertuduhan yang melulu ini dan pada zaman moden ini
tulisan ulama Mekah yang terkenal ( meninggal dunia 29 Oktober 2004)
ialah Syed Muhammad Al-Alawi al-Maliki yang menulis kitab “ Mafahim Yajibu An Tusohhah” ( Kefahaman Yang Wajib diPerbetulkan). Antara tulisannya dalam kitab ini menyatakan:
Sesungguhnya
Tasawwuf telah teraniaya , ditohmah dan dipandang serong. Tidak ramai
yang memandangnya dengan pandangan tepat dan betul. …. Ramai orang yang
mengaku dan mendakwa mereka di atas hamparan kebenaran tetapi kebenaran
itu sendiri berlepas diri daripada mereka…..Mereka berkata : Sifulan
tidak boleh dipercayai , hanya kerana dia seorang Sufi. Yang
menghairankan orang yang begitu lancang mencaci tasawwuf dan menentang
ahli Sufi mengutip kata-kata dan perbuatan ahli Sufi untuk dijadikan
teks ucapan dan pengajaran mereka di atas mimbar-mimbar. Mereka berkata :
telah berkata Fuhail ibn Iyad , telah berkata Junaid al-Baghdadi, telah
berkata Sahl al Tustari dan seterusnya. Mereka inilah yang telah melayakkan diri mereka menerima gelaran yang disifatkan oleh Rasulullah s.a.w sebagai “ Orang yang kenyang makan apa yang tidak diberikan kepadanya , bagaikan orang yang memakai dua helai baju palsu”.
Bukti
tentang Sufiphobia orang Islam sendiri terhadap golongan Sufi khasnya
di kalangan pengkaji moden ( berbanding pengkaji tradisional) ialah
sedikitnya orang Islam yang mengkaji
Sufi handalan seperti Ibn Arabi, Sahl Tustari , Hakim Tirmizi dan
lain-lain (lihat Lampiran 4). Keadaan ini harus diperbetulkan.
Sekian, wallahu a’lam bissawab.
Rujukan
- Laleh Bakhtiar , 1993. God’s Will Be Done (Vol 1-3) , Kazi Publication menghuraikan simbol dan ennegram Sufi dan hubungannya dengan psikologi. Beliau juga merupakan wanita Barat pertama yang menterjemahkan Al-Quran dalam Bahasa Inggeris.
- Ken Lizzio ,2007 . Ritual and Charisma in Naqshabandi Sufi Mysticism , capaian atas tali: http://www.anpere.net/2007/3.pdf
- Muhammad Uthman El-Muhammady , 2003 Konsep Nur Muhammad di Dunia Melayu, atas talian http://www.geocities.com/traditionalislam/Nur_Muhammad.htm
- Abdul Qadir Isa , Haqaia at Taswuf – terjemahan Mustafa Hussain at Taib ,2007 tanpa penerbit.
Lampiran 1 (Ken Lizzio , 2007)
Lampiran 2 – Ken Lizzio (2007)
Lampiran 3
BEBERAPA BID’AH HASANAH* AMALAN SUFI YANG TELAH DITERAPKAN DALAM MASYARAKAT MELAYU
1. WIRID –WIRID CONTOHNYA AURAD SH. AHMAD AL-QUSASYI , HIZIB-HIZIB
2. AMALAN-AMALAN SALAWAT KHASNYA DARIPADA DALAILUL KHAYRAT OLEH AL-JAZULI DAN SALAWAT DIBA’IE
3. AMALAN MEMUJI NABI S.A.W MELALUI BACAAN BARZANJI
4. DOA-DOA CONTOHNYA DOA NABI KHIDR A.S YANG DIIJAZAHKAN KEPADA SH. ABUL ABBAS AL-MURSI , GURU KEPADA IBN ATHAILLAH AS-SAKANDARI :
Ya
Allah, ampuni umat Muhammad , Ya Allah kasihi umat Muhammad . Ya Allah ,
tutupi kesalahan umat Muhammad . Ya Allah, bantulah umat Muhammad.
5. CARA BERKHALWAT , BERTALQIN , BERWIRID DAN SEBAGAINYA TERMASUK MELAKUKAN SAMA’ DAN TARIAN BERPUTAR ( TAREQAH AL-MAWLAVI)
6. MELAKUKAN
TAHLIL PERINGATAN ATAU HAUL CONTOHNYA UNTUK KHADIJAH R.A , SAHABAT
TERTENTU ATAU PARA WALIYULLAH SEPERTI SH. ABDUL QADIR JILANI
*ini boleh diterima malah merupakan sunnah khulafa’ ar Rasyidin dimana Saidina Umar r.a merupakan sahabat yang paling banyak membuat bid’ah hasanah tersebut.
Lampiran 4
Tokoh Sufi
|
Pengkaji Moden
|
Ibn Arabi
|
Isutzu,
Claude Addas , M. Chodkiewicz , Sells, Hirstenstein , Osman Yahia ,
Kautsar Azhari Noer, Denis Grill , Annamarie Schimmel , JW Morris,
W.Chittick, Sachiko Murata.
|
Hakim Tirmizi
|
Sara Sviri , Bernd Radke
|
Sahl Tustari
|
Gerhard Bowering
|
Syed Ahmad Alawi
|
Martin Lings (Abu Bakar Sirajudin)
|
Rabia al Adawiyah
|
Margaret Smith , AJ Arberry
|
Suhrawardi Maqtul , Ishraqi
|
Hossein Ziai , Parvez Morewedge
|
Sufi Parsi
|
Leonard Lewisohn
|
Sufi Asia Tenggara
|
AH Johns , CJW Drewes , Syed Naquib al-Attas dll
|
Sufi Asia Barat
|
M.B Olcott , Bennigsen , Wimbush.
|