Friday, 6 December 2013

Delegasi Ilmiah dan Ruhiyyah Sufi Mesir Di Malaysia

Delegasi Ilmiah dan Ruhiyyah Sufi Mesir Di Malaysia
Zaman kegemilangan Kurun ke-18 dan ke-19 merupakan suatu jalinan jaringan sunni antara Alam Melayu dan Timur Tengah dalam tradisi sunni khususnya Institusi al-Haramayn (Makkah al-Mukarramah). Menjelang kurun ke-20 dan alaf ke-21 ianya telah berpindah dari Mekah ke Mesir khususnya al-Azhar dan Institusi Tareqat Sufi sebagi warisan Sunni Ahli Sunnah Wal Jamaah. Iaitu dalam penghayatan dan pengkaderan keilmuan Sunni dan dakwah dalam konteks rehlah ilmiah dan Ruhiyyah.

Alam Melayu telah melahirkan ulamak sufi tersohor antaranya Tuan Tabal, Tokku Paloh, Tok Pulau Manis, Tok Selehor, Tok Jelapang, Tok Bachok, Tok Kemuning, Syeikh Wan Sulaiman, Syeikh Daud al-Fathani, Syeikh Ahmad al-Fathani, Syeikh Said Linggi, Syeikh Abdullah Fahim, Syeikh Ahmad Arsyad al-Banjari, Syeikh Abdul Samad al-Palembani, Wali Songo, Tok Kenali, Tok Wan Ali Kutan dan ramai lagi. Leluhur ini kembali melanda ke Tanah Melayu dimana alaf ke-21 merupakan kebangkitan Sufi dengan kembalinya para penuntut Malaysia dari Mesir dengan khazanah yang berharga tersebut.

Sebagaimana Firman Allah dalam Ayat surah at-Taubah: 122 yang bermaksud : (maka akan ada suatu golongan akan keluar bagi mendalami ilmu agama dan akan kembali kepada masyarakatnya bagi meyampaikan (ilmu agama) mudah-mudahan mereka beroleh manfaat peringatan.
Para penuntut Malaysia telah mengambil kesempatan menadah ilmu di Mesir bersama masyayikh dan ulama samaada secara formal dan tidak formal iaitu dengan talaqi, kuliah, dars, membeli kitab dan membacanya serta mengambil ijazah dan sanad ilmu yang merupakan kesinambungan salsilah dan rantaian guru. Dan juga dalam pengamalan zikir dan wirid tareqat yang berkesinambungan salsilah sampai kepada Rasulullah SAW. Yang merupakan suatu tradisi Sunni agar terus mendapat berkat dan rahmat terhadap para penuntutnya.

Mesir merupakan ardu kinanah (bumi barakah) iaitu bumi para anbiyaa’, para ahli bait, para sahabat dan para auliyaa’. Mesir yang merupakan pusat Institusi Tariqat Sufi yang muktabar (Majlis A’la Turuq Sufiah) dengan dibarisi para ulama dan ahli bait yang ulung dan berwibawa. Mutiara berharga khazanah ’ardu kinanah’ telah berjaya diambil oleh penuntut Malaysia di sana dan membawanya kembali ke tanahair.

Kesempatan dan peluang ini digunakan oleh para penuntut Malaysia dalam mendalami ulumuddin dan mengambil baiah ijazah Tareqat. Mereka membawa pulang bagi tanggungjawab dakwah untuk disebarkan kepada masyarakat di Malaysia yang tercinta. Iaitu dalam konteks dakwah ilmiah dan ruhiyyah.

Antara Tariqat Sufi muktabar (di bawah naungan Majlis A’la Turuq Sufiah) yang dibawa pulang ialah :
Tariqat al-Ahmadiah (dinisbahkan kepada Syeikh Ahmad bin Idris) yang kini dipimpini oleh Syeikh Abdul Ghani bin Syeikh Solah al-Ja’fari).
Tariqat al-Dusuqiah al-Muhammadiah (dinisbahkan kepada Syeikh Ibrahim ad-Dusuqi) yang kini dipimpini oleh (Anggota Tertinggi Majlis Sufi).
Tariqat al-Khalwatiah (dinisbahkan kepada Syeikh Mohamad al-Khalwati yang kini dipimpini oleh Rektor Universiti al-Azhar Prof Syeikh Ahmad Tayyib.
Tariqat al-Naqsyabandiah (dinisbahkan kepada Syeikh Bahauddin al-Naqsyabandi yang kini dipimpini oleh Timbalan Rektor Universiti al-Azhar Prof Syeikh Judah Abu Yazid al-Mahdi.
Tariqat as-Syaziliah (dinisbahkan kepada Syeikh Abu al-Hassan as-Syazili yang kini dipimpini oleh Syeikh Mahmud al-Khatib dan Prof Syeikh Isomuddin Mohamad Zaki (Anggota Tertinggi Majlis Sufi).

Malaysia menjadi tumpuan delegasi ilmiah dan ruhiyyah para ulama dan masyayikh Mesir. Alaf ke-21 menampilkan kedatangan mereka tersebut samaada dalam seminar, muktamar, rehlah, ijtima’ dan multaqa.

Antaranya Syeikh Hassan as-Syinawi (Ulama al-Azhar dan Mantan Ketua Majlis Sufi) delegasi ke Malaysia iaitu sempena Seminar Sufi Kebangsaan 2002 dan 2004 di Seremban Negeri Sembilan anjuran Jabatan Mufti, Multaqa Ulama Sedunia 2003 anjuran YADIM di Putrajaya dan Majlis Maulid Nabawi tahun 2007 di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur dan tahun 2008 di Masjid Putra, Putrajaya.

Sempena Seminar Sufi Kebangsaan di Negeri Sembilan 2004 turut dihadiri Timbalan Rektor Universiti al-Azhar dan Syeikh Tariqat al-Naqsyabandiah Prof Syeikh Judah al-Mahdi dan Prof Syeikh Mohamad Mahmud al-Hashimi (Syeikh Tariqat al-Hashimiah al-Khalwatiah dan Ulama al-Azhar as-Syarif).

Prof Syeikh Ahmad Omar Hashim (Mantan Rektor Universiti al-Azhar, Anggota Akademi Penyelidikan al-Azhar dan khalifah Tariqat al-Khalwatiah juga pernah datang sempena Seminar Sufi Kebangsaan dan maulid Nabawi di Masjid Wilayah Persekutuan dan di Masjid Putra bersama-sama Syeikh Hassan as-Syinawi.

Sempena Ijtima’ Ulama Pondok Senusantara ke-2 di Yayasan al-Jenderami tahun 2007 turut dihadiri oleh Prof Syeikh Isomuddin Zaki (Syeikh Tariqat as-Syaziliah, ketua majalah al-Moslem dan Anggota Tertinggi Majlis Sufi.

Syeikh Abdul Ghani al-Ja’fari (Syeikh Tariqat al-Ahmadiah) juga pernah datang diatas jemputan Mufti Negeri Sembilan dan Yayasan Sofa. Yayasan sofa mencatat kejayaan dengan persetujuan al-Azhar membina kampus cawangannya yang pertama di luar negara. Iaitu sebagaimana al-Azhar merupakan kiblat institusi Sunni yang terulung di alam hari ini.

Tahun 2008 Multaqa Alumni al-Azhar Sedunia yang julung diadakan di luar Mesir iaitu di Kuala Lumpur Malaysia turut dihadiri para ulama al-Azhar dan Rektor Universiti al-Azhar Prof Syeikh Ahmad Tayyib (Khalifah Tariqat al-Khalwatiah) termasuk masayikh sufi kalangan al-Azhar.

Mufti Agong Mesir Prof Syeikh Ali Jumaat (Khalifah Tariqat as-Syaziliah ) pernah hadir sempena persidangan Akademi Fiqh Sedunia 2007 di Putrajaya dan di persidangan yang lain yang diadakan di Kuala Lumpur.
Tahun 2009, kehadiran masyayikh sufi dari Iraq, Syria, Yaman, Mekah dan Mesir ke Malaysia. sempena Majlis Maulid Rasul di Masjid Negara pada bulan April antaranya Mufti Mesir/Khalifah Tariqat as-Syaziliah Syeikh Ali Jumaat dan Mantan Rektor Universiti al-Azhar Prof Dr Ahmad Omar Hashim (Khalifah Tariqat al-Hashimiah dan Anggota Akademi Penyelidikan al-Azhar).
Sememangnya hubungan Sufi Mesir dengan Malaysia begitu jelas samaada secara ilmiah dan amalan ruhiyyah melalui amalan tariqat. Hubungan yang berterusan berdasarkan keilmuan, pengajian, hubungan kerohaniaan dan ziarah ilmiah serta delegasi rasmi sentiasa berterusan dari masa ke semasa. Suatu petanda kearah kebangkitan kerohaniaan dan keilmuan yang berpaksi kepada warisan Sunni Ahli Sunnah wal Jamaah. Jaringan Ulama dan masyayikh Mesir dengan muridnya di Malaysia merupakan suatu rahmat kepada negara ini dalam sumbangan menjana modal insan dan insan Rabbani. Kerana Mesir mempunyai institusi agama yang muktabar dan terulung di alam hari ini iaitu al-Azhar, Majlis Sufi A’la, Dar al-Ifta dan Majlis A’ la Syuun al-Islamiah. Dalam konteks ulamanya yang berwibawa dan terulung dalam dunia aliran Sunni.

Majlis A’la Sufi Mesir juga sedang mengerakkan kepada penyatuan kearah Majlis A’la Sufi al-Alami (Majlis Tariqat Sufi Sedunia) dengan dibaris ulama muktabar agar umat Islam dapat merujuk hal ehwal agama kepada ahlinya (pakar). Khususnya berkaitan kerohaniaan Islam dan roh Islam yang hakiki.. Yang akan berpusat di Darasah, Kaherah (dilingkaran Institusi Islam iaitu Jami’ al-Azhar, Universiti al-Azhar, Akademi Penyelidikan Islam al-Azhar, Maktabah al-Azhar , Masyikhah al-Azhar, Dar al-Ifta, Niqabah as-Saada al-Ashraf, Dar ad-Dusuqi al-Muhammadi, Dar al-Ahmadi al-Jafari, Markaz as-Syabrawiah dan Asyirah al-Muhammadiah).