Jalan untuk menjadi Sufi Sejati
Oleh
Shahidan Radiman
Pusat Pengajian Fizik Gunaan
Fakulti Sains dan Teknologi , UKM
Pusat Pengajian Fizik Gunaan
Fakulti Sains dan Teknologi , UKM
1.Latarbelakang
Cerita
tentang pertemuan seorang professor universiti dengan seorang tukang
sampan sangat terkenal (kebanyakannya dalam versi B. Inggeris). Secara
ringkasnya , apabila ditanya samada tukang sampan itu pernah ke sekolah
dan dijawab tidak, professor (yang ingin memberi seminar di sebuah
pulau) itu mengatakan “ setengah kehidupan kamu sudah habis” . Namun
apabila di tengah laut sampan itu bocor dan tukang sampan bertanya
samada professor itu boleh berenang atau tidak dan dijawab tidak, maka
dia berkata “ seluruh kehidupan kamu akan habis”. Begitu jugalah analogi
di antara seseorang yang sudah biasa dengan ilmu duniawi dan alam
syariati (tanpa menceduk ilmu hakikat dan makrifat) akan binasa apabila
berhadapan dengan alam ghaib dan alam akhirat. Betapa banyak ustaz dan
ustazah yang mengajar ilmu agama , tetapi bila sampai ke bab gangguan
jin dan syaitan , mereka tidak dapat menolong orang , malah mereka tidak
dapat menolong diri sendiri apabila berlaku kerasukan dan sebagainya.
Itu belum lagi dengan pengetahuan dan pengalaman tentang alam malakut,
jabarut dan sebagainya, apatah lagi alam ketuhanan. Mengapa fenomena ini
berlaku dalam masyarakat adalah disebabkan kebongkakan golongan yang
mengaku ulamak tetapi sebenarnya hanyalah ulamak dunia. Mereka merasa
hebat dengan ilmu agama yang ada dan segolong ijazah dari universiti
terkemuka tertentu , sedangkan hebatnya ilmu terletak kepada taqwa.
Mereka taksub dengan ilmu yang mereka pelajari dari buku dan professor ,
tidak kepada nasab sebenar ilmu Islam. Tidakkah kita pernah mendengar
hadith Rasulullah s.a.w “ Semua nasab akan terputus di Hari Akhirat ,
kecuali nasab ku”. Mereka lupa kepada ehsan sedangkan selepas Islam ada
iman dan selepas iman , ehsan pula yang perlu dibangunkan. Nabi Muhammad
s.a.w bukan saja perlu diteladani secara lahiriah tetapi juga secara
batiniah dan ruhiyah ! Bibit-bibit ketaksuban dalam beragama semakin
jelas apabila timbul fahaman Wahabi yang begitu rigid , tidak menerima
pemikiran dan fatwa orang lain serta secara sistematik ingin
menghilangkan sejarah Nabi Muhammad s.a.w agar manusia lalai dengan
kemodenan dan melupakan tokoh ikutan ummat dari ingatan ummat !
2.Perjalanan Sufi Muhaqqiqin
Orang
Sufi sangat menekankan pengetahuan alam ghaib dan amalan batiniah
dikeranakan Allah s.w.t itu melihat kepada amalan hati. Jika alam
semesta yang fizikal ini diwakili oleh sebutir pasir di padang Sahara ,
maka alam ghaib itu diwakili oleh padang Sahara yang begitu luas.
Keadaan orang Sufi itu begini: ruh mereka menembus langit dan mengadap
Allah s.w.t ketika solat ; ketika berzikir , mereka menghantarkan ruh
mereka ke falak-falak yang telah ditetapkan atas perintah Allah s.w.t
dan bagi yang diiktiraf , mereka menjalankan tugas di alam ghaib
sebagai tentera dan utusan Allah bagi membantu dan mengajar manusia .
Dalam banyak tugasan ini “hanya yang khawasul khawas akan mengajar yang
khawas”. Dengan bimbingan guru yang mursyid, seseorang Sufi itu akan
dapat memperjalani setiap ayat Al-Quran sehingga khatam –ini merupakan
Sunnah yang telah dilaksanakn oleh para sahabat termasuk Saidina Umar
r.a yang mengambil 4 tahun untuk mengkhatamkan al-Quran secara
praktikal. Sebahagian dari ahli Sufi akan dapat kembali ke alam “alasti
birobbikum , qolu bala syahidna” , memahami rahsia Alif yang ghaib
dalam awal Basmalah dan juga rahsia titik Ba dalam Basmalah seperti yang
dihurai oleh Saidina Ali kar. dan sebagainya. Perjalanan sufi ini
adalah ke arah insanul kamil ( yang dicapai oleh Rasulullah s.a.w dan
para nabi a.s). Melaluinya Allah s.w.t mentajallikan sifat dan asma’Nya
sehingga dirinya sendiri mempunyai banyak “nama rahsia”. Pentajalian itu
adalah seperti yang disebut dalam al-Quran sebagai “tusarriful ayat” .
Dalam
menyampaikan ilmu kepada orang awam dan khawas, kaum Sufi tidak hanya
menghafal ilmu dan menyodorkan semula ilmu itu kepada masyarakat ,
tetapi dapat menyerap roh ilmu dan apabila menyampaikannya mereka dapat
menghantar manusia yang belajar dengan mereka ke makam mereka
masing-masing. Berapa banyak tabi’in yang mengajar di masjid-masjid
pada zaman kekhalifahan Saidina Ali kar. diberhentikan dan ditegah
mengajar ilmu agama oleh beliau ( lihat riwayat ini dalam Qutul Qulub
oleh Abu Talib Makki) – hanya beberapa tabiin sahaja yang dibenarkan
meneruskan pengajaran mereka contohnya Imam Hasan Basri rah. Ini adalah
diatas kehendak Allah s.w.t seperti dalam ayat 24 surah Al Hajj:
Dan mereka diberi petunjuk kepada ucapan-ucapan yang baik dan diberi petunjuk pula kepada jalan Allah yang terpuji.
Banyak
yang mencari dan mengajarkan ilmu tetapi tidak mendapat faedah dari
ilmu itu kerena tidak dapat mengamalkannya- dalam erti lain tidak
bersiap-siap menerima rahmat Allah melalui jalan amal salih , seperti
yang disebut dalam al-Quran 53:39 :
“ Bahawasanya manusia itu tidak memperoleh selain apa yang telah diusahakannya. “
Perjalanan
ahli Sufi beracuan/templat dengan perjalanan para anbiya , sebab
perjalanan tersebut menuju insanul kamil sedangkan para anbiya merupakan
insanul kamil yang wajib dicontohi. Oleh itu , akan ada
perjalanan-perjalanan yang bernama Musawi, Isawi , Muhammadi dan
sebagainya.
Kaum
sufi sentiasa bersama Allah kerana mereka tidak pernah meninggalkan
zikir pada setiap detik (dipanggil zikir nafas) – inilah sebenar-benar
“zikran kathira”. Kehendak Allah sentiasa mendahului kehendak dan
cita-cita makhluk , oleh itu biasanya bukti bahawa seseorang itu akan
dapat beristiqomah dan diterima oleh Allah ialah si salik itu mendapat
hadiah tongkat atau khirqah samada dari gurunya atau dari para nabi atau
wali qutub , samada secara zahir atau batin (melalui mimpi). Kata
“istiqomah” itu dihuraikan dalam Al-Quran dalam suku kata seperti “
aqimis solah , aqimud din ,aqimu wujuhakum” dan sebagainya. Selain
daripada sentiasa menyucikan diri dengan pelbagai laku mahmudah , mereka
sangat berhati-hati daripada terjerumus kepada perbuatan mazmumah sebab
keterjerumusan itu berlaku secara perlahan-lahan dalam bentuk
“langkah-langkah syaitan” ( khutuwatis syaitan , lihat Al An’am ayat
142). Mereka juga memahami dan mengenali hakikat sebenar penampilan
(suwar) : contohnya penampilan Al-Quran sebagai pemuda yang tampan
,solat Jumaat sebagai seorang pengantin dan sebagainya. Imam Al Ghazali
ada menyebutkan dalam Rasail ke-9 :
Seorang
hamba tidak akan sampai ke surga , kecuali setelah melewati titian
as-shirath. Kita tidak dapat berjalan di atasnya , kecuali seperti kita
berjalan diatas jalan maknawi di dunia ini.
Renungkanlah !
Ibnu Arabi rah. dalam sebuah suratnya kepada Imam Fakhruddin al-Razi (dipetik dari Jawahir al Maani):
Ketahuilah
saudaraku, hanya dua bentuk ilmu yang akan mengikuti manusia ke
akhirat. Pertama , ilmu tentang Allah s.w.t. Kedua, ilmu tentang
tempat-tempat (mawatin) di Hari Akhirat agar seseorang itu tidak gagal
untuk mengenalpasti tajalliyat di sana sehingga dia tidak berkata “ Aku
berlindung dengan Allah daripada mu” apabila al-Haqq menunjukkan DiriNya
kepada manusia ketika itu.
3.Hakikat Mengenal Diri
Zikir
adalah dengan lisan dan kalbu. Zikir lisan adalah untuk menghasilkan
zikir kalbu. Zikir kalbu adalah untuk memperolehi muraqabah. Seterusnya
muraqabah membawa kepada musyahadah. Ini adalah disebabkan pada
peringkat muraqabah teguhlah keEsaan Allah dalam kalbunya dan dengan itu
mudahlah melestarikan ibadah kepadaNya. Pada peringkat musyahadah
tersingkaplah melalui pandangan batinnya bahawa cahaya kewujudan
Keesaan Allah itu meliputi segala sesuatu dan oleh itu nampaklah
sifat-sifat dan nama-nama Allah dalam segala ciptaanNya. Maka dia akan
sentiasa menyaksikan cahaya Rububiyyah dan tersingkap kepadanya
rahsia-rahsia keMahatunggalan Allah s.w.t itu.
Sabda
Rasulullah s.a.w “ Aku tinggalkan untuk kalian dua pemberi nasihat,
yaitu yang berbicara dan yang diam”. Yang berbicara itu adalah Al-Quran
dan yang diam itu adalah kematian. Orang Sufi dapat “menghidupkan”
suruhan ini dengan melaksanakan zikir berterusan dalam dua cara iaitu
secara lisan atau secara dalaman (dalam hati) dan sekaligus melaksanakan
“kematian” dengan berada dalam keadaan fana’ atau fana’ baqa’ billah
ketika melaksanakan solat dan lain-lain ibadat .
Imam al Ghazali ada menyebutkan dalam Rasail ke-6 tentang ruh:
Ruh
itu ada tiga. Jiwa yang arif , jiwa yang ahli ibadah dan jiwa yang
zuhud. Jika ketiga jiwa itu berkumpul , kematian dan kehilangan tidak
akan membahayakannya. Sebab ia sempurna naik ke a lam kesempurnaan. Ia
akan memperoleh apa yang tidak ada di dalam surga berupa maqam-maqam
ketinggian dan cahaya-cahaya kesucian di dalam Kehadiran Keabadiaan.
Inilah
yang dimaksudkan oleh orang-orang Sufi sebagai “indarobbihim” – di sisi
Rabb mereka. Imam Ghazali seterusnya menghuraikan bahawa:
“…dibelakang
kenikmatan surga , terdapat kenikmatan lain yang tidak terinderakan ,
kecuali dengan musyahadah . Sifat musyahadah tidak dapat diungkapkan
kerana kelazatan melampaui batasan pengungkapan dan penafsiran. “
Mereka yang sudah mengenal diri akan dapat melakukan apa yang Saidina Ali kar dapat melalui. Kata beliau:
“ Tanyakanlah kepada ku tentang jalan-jalan langit , niscaya aku akan menghuraikannya kepada anda …………….”
4. Penutup
Ketika
para professor dari universiti –universiti terkemuka dunia dan
persatuan-persatuan sains dunia membincangkan hasil tulisan para Sufi
muhaqqiqin seperti Ibn Arabi, Sh. Abdul Qadir Jilani, Sh. Abu Hasan
Shadzli dan Imam Ghazali dan kitab-kitab mereka ditelaah dan dikaji oleh
pelbagai zawiyah dan pondok pengajian (untuk mencapai ilmul yaqin),
seorang Sufi yang telah mencapai makamnya dapat menyatakan bahawa “ hari
ini aku dapat belajar dengan sheikh-sheikh yang disebutkan tadi secara
ladunni serta dihuraikan kepada ku kitab-kitab tersebut “. Malah tidak
mustahil untuk seseorang Sufi belajar sendiri daripada guru semua guru
iaitu Allah s.w.t sendiri. Seperti kata seorang arif, jika mimpi
berjumpa seseorang nabi a.s itu pasti benar, apatah lagi bermimpi (dan
belajar) dengan Allah s.w.t sendiri (untuk mencapai haqqul yaqin). Maka,
makam ehsan yang dicita-citakannya itu akhirnya tercapai.
Wallahu a’lam bissawab.
15 Mei 2011